Usaha, Doa dan Tawakkal

Assalamualaikum dan selamat malam diucapkan kepada para pengunjung Da’Knit Blog. Terima kasih kerana anda masih terus sudi mengunjung blog yang tidak seberapa ini.

Malam ini, hati saya tergerak untuk menulis pandangan saya tentang beberapa soalan yang saya kerap terima. Soalan-soalan itu ada kalanya membuatkan saya berfikir, sejauh manakah kemampuan saya dan kelayakan saya untuk memberikan pendapat terhadap soalan-soalan tersebut? Tapi apa yang saya pasti, pengalaman yang saya perolehi masih belum cukup untuk saya labelkan diri saya sebagai seorang peniaga yang berjaya. Masih banyak perkara yang perlu saya fahami dan pelajari lagi. Hakikatnya, saya masih buta ilmu! dan perlu banyak latihan untuk meningkatkan taraf pengetahuan saya dalam ilmu ini.

Mungkin pandangan saya ni, ada manfaatnya dan ada juga yang mungkin tidak sesuai diguna pakai. Mana yang baik, kita ambillah dia. Mana yang keruh, kita jernihkan lah dia. Saya sangat percaya, rezeki Allah memang sudah ditetapkan. Percaya pada rezeki yang Allah berikan akan menjadikan kita lebih tenang. Jika kita mempunyai rezeki tersebut, Allah akan bantu memberikan kita jalan keluar, selain dari usaha, tawakkal dan doa yang wajib kita amalkan. Astaghfirullah.. saya sendiri masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Tetapi apabila kita persoalkan rezeki orang lain, ingatlah, rezeki kita juga tidak kurang hebatnya seperti mereka yang lain dan kita wajib bersyukur dengan segala rezeki yang kita perolehi dariNya. Rezeki itu ada di mana-mana. Tidak perlu kita persoalkan. Allah swt adalah sebaik-baik perancang dan rancangan Allah itu sentiasa tepat masanya untuk kita. Percayalah!

Adapun selain itu, mencari rezeki yang berkat itu wajib. Jika tidak berkat, segala yang menjadi darah daging kita akan dipersoalkan kemudian hari. Rezeki yang tidak berkat selalunya akan menjadikan kita sentiasa merasa tidak kecukupan dalam memiliki sesuatu. Maka timbullah hasad dengki di hati. Cemburu melihat kejayaan orang lain yang lama kelamaan akan memakan diri kita sendiri. Sebagai manusia yang lemah, saya juga pasti tidak lari dari merasa cemburu. Cemburu itu pasti ada disudut hati kecil kita. Cemburu itu tidak pernah akan meninggalkan kita. Jadi apa yang perlu kita lakukan ialah belajar mengawal rasa cemburu kita. Jangan sesekali membiarkan cemburu menguasai hati kita. Jika kita mula berasa cemburu, segeralah beristighfar, ingat pada Allah, ingat pada rezeki kita yang tidak pernah putus Allah berikan. Ingat bahawa apa yang kita ada tidak mungkin ada pada orang lain dan sebaliknya. Masing-masing pasti ada kelemahan dan kelebihannya. Jika kita berjaya mengawal perasaan hasad dengki dan cemburu kita, insya Allah, Allah akan kurniakan hati yang lebih tenang. Bila kita tenang, idea pasti akan datang mencurah-curah. Maka jadikanlah idea-idea kita itu sebagai salah satu punca untuk mencari rezeki yang berkat.

Untuk mencari rezeki yang berkat, kita perlu berkerja dengan bersungguh-sungguh. Tetapi kadang-kadang, kita merasa sangat berat untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Mungkin salah satu faktornya ialah kurang sokongan fizikal dan mental dalam melakukan sesuatu perkejaan tersebut. JIka kita tidak mempunyai sokongan padu, adakah itu akan menjadikan satu sebab utama untuk kita mengundurkan diri dari pekerjaan tersebut lebih-lebih lagi ianya merupakan pekerjaan yang paling kita sayangi? Mungkin ya, mungkin juga tidak. Mungkin bergantung pada alasan tersebut. Perlu atau tidak, kita perlu kaji dahulu. Kaji sejauh mana kesannya terhadap diri kita. Adakah ianya akan membantu situasi kita menjadi lebih baik? Ataupun sebaliknya? Bagi pendapat saya yang masih belajar ini, sokongan sememangnya amat perlu bahkan merupakan tonggak semangat diri kita. Manusia secara zahirnya tidak mampu melakukan pekerjaan dengan sendirinya. Jika tidak seorang, pasti ada dua orang yang akan membantu kita. Sedaya upaya, kita cuba mencari sokongan. Sokongan itu tidak akan hadir dengan sendirinya. Kitalah yang perlu bergerak, dan terus mencari sokongan tanpa rasa putus asa. Jika bukan suami, mungkin ibu. Jika bukan ibu, mungkin adik. Jika bukan adik, mungkin pakcik. Sesiapa sahaja yang boleh memberikan kita sokongan itu, carilah mereka kerana sokongan mereka akan menjadikan kita semakin kuat dan tabah dalam mengharungi pekerjaan tersebut, Tahukah anda, manusia boleh menjadi luar biasa jika berjaya memperolehi sokongan walaupun hanya seorang sahaja yang menyokongnya? Ya, Allah memberikan kita perasaan yang boleh menjadi luar biasa, jika kena pada tempatnya.

Tingkatkan ilmu. Selain itu, kita perlu terus belajar dan belajar. Rajinkan bertanya dengan yang arif lagi pakar. Ringankan mulut dengan soalan-soalan yang perlu di isi dengan jawapan yang bernas. Tidak salah untuk kita bertanya jika kena pada tempatnya. Zaman kini, semuanya sangat mudah. Bak kata orang, hanya dihujung jari sahaja! Ada pelbagai cerita pengalaman yang hebat boleh kita jadikan sebagai inspirasi kita. Inspirasi dan motivasi amat penting untuk mengukuhkan keyakinan kita. Keyakinan yang berlandaskan hukum. Pertama sekali, yakinlah dengan Allah. Yakin pada Allah, segalanya akan menjadi lebih mudah untuk kita. Masih ingat maksud ayat Seribu Dinar? Surah At-Thalaq, ayat 2-3.

 “…Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.” (Ayat 2)

” Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya…” (Ayat 3)

Saya yakin, semua orang mampu melakukannya. Tiada yang mustahil dengan kehendak Allah swt. Rezeki ada di mana-mana. Usaha, doa dan tawakkal. Yakin pada Allah swt. Berhubung baik dengan manusia. Insya Allah, Allah akan permudahkan segala urusan kita. Saya bukanlah manusia yang pandai. Saya juga bukan mengajar anda. Andalah yang menentukan bagaimana masa depan yang ingin anda bina, dan sentiasa yakin, Allah swt adalah sebaik-baik pemberi rezeki. Semoga tulisan saya ini, sedikit sebanyak dapat memberikan manfaat pada diri kita semua. Bak kata pepatah Melayu, di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya. Selain itu, jangan lupa. Sentiasa rajin bersedekah. Insya Allah, semoga sedekah itu membawa berkat hidup kita.

Tulisan saya pada malam ini juga ditujukan untuk saya sendiri. Supaya sentiasa beringat, bahawa hidup ini adalah seperti roda. Sekejap di atas, sekejap di bawah. Semoga Allah sentiasa memimpin kita ke jalan yang benar. Amin ya rabbal’alamin.

 

 

“Allah meluaskan rezeki dan menyempitkannya bagi siapa yang Dia kehendaki. Mereka bergembira dengan kehidupan di dunia, padahal kehidupan dunia itu (dibanding dengan) kehidupan akhirat, hanyalah kesenangan (yang sedikit)”
Ar Rad ( 13 ) : 26

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *