
“Saya suka sangat orang Melayu dan saya sangat minat dengan Islam!”
Begitulah kata anak muridku yang baru mencecah 13 tahun sewaktu aku bertanyakan mereka tentang kehidupan dan budaya makan di kalangan bangsa Cina. Aku memang sangat terkejut dan teruja dengan kata-katanya yang memang kukira, keikhlasan itu boleh kulihat menerusi cahaya matanya. SubhanAllah.. bagaimana Allah boleh membuka hatinya untuk merasakan perasaan sedemikian di kala umurnya masih begitu mentah sekali? Tiba-tiba aku teringat sahabat baikku, juga rakan sebilikku, juga merupakan seorang gadis berbangsa Cina. Entahlah… sejak mengajar di sekolah baru lebih kurang setahun lebih, aku belajar banyak perkara baru. Tahun ini merupakan tahun kedua aku mengajar di sekolah yang hampir 95% pelajarnya adalah pelajar berbangsa Cina dan cabarannya memang berbeza sekali dari sekolah lamaku.
Tetapi bukan ini yang aku ingin catatkan di dalam tulisanku hari ini. Cuma ingin menulis sesuatu yang boleh kukenangkan kembali agar aku tidak lupa kejadian itu pernah berlaku. Bukan hanya setakat -deja vu-.
“Er.. saya sangat minat dengan Islam dan ingin memeluk Islam”
Masih terngiang-ngiang kata-kata sahabat sebilikku yang dari Miri ini sewaktu kami sedang berbual-bual di atas katilnya. Perkara itu sudah 9 tahun lamanya berlaku. Tetapi aku tidak boleh lupa kerana ianya merupakan perkara yang benar-benar terjadi di hadapanku.
“Bagaimana kau boleh minat dengan Islam?” tanyaku dengan penuh minat. Benar. Ini kali pertama aku berhadapan dengan seseorang yang benar-benar ikhlas menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam. Kami bercerita panjang pada hari tu. Petang atau malam aku tidak begitu ingat tetapi aku sangat teruja dengan jalan ceritanya. Dia kata, dia sudah mula berminat dengan Islam sejak dia berada di Tingkatan 1. Mula mencari ilmu ketika di Tingkatan 2. Kalau anda tanya apa sebabnya? Maaf, aku benar-benar lupa. Tetapi aku masih ingat bagaimana dia telah menempuh liku-liku hidup yang penuh dengan cabaran untuk mengenal Islam sehingga ada suatu masa di mana dia telah dipulaukan oleh sahabatnya hanya kerana dia berminat dengan Islam. Alangkah sedihnya .. kerana risau memikirkan dia akan kehilangan sahabat-sahabatnya itu, cepat-cepat dia lupakan hasratnya sehinggalah dia berjaya ke Matrikulasi dan meneruskan kembali perjuangannya mencari Islam.
Kami adalah rakan sebilik. Dalam bilikku itu ada 4 orang pelajar. Aku salah satunya dan hanya aku seorang yang berasal dari Sabah. Manakala baki yang 3 lagi berasal dari Sarawak. Sepanjang setahun aku bersama mereka, aku belajar banyak benda baru tentang Sarawak, satu-satunya negeri yang belum pernah kujejaki lagi. Berbalik kepada sahabatku tadi, hampir setiap hari aku memberikannya kata-kata semangat. Aku cuba memahami perasaan dan hatinya. Kami menjadi sahabat baik. Walaupun kelas kuliah dan tutorial kami berbeza, namun aku tidak pernah melepaskan peluang untuk bersama dengannya dan menjadi sahabatnya. Maka sejak hari itu, aku lihat dia semakin berani meluahkan dan berkongsi isi hatinya pada ku. Lebih-lebih lagi tentang niatnya untuk memeluk Islam.
Sehinggalah satu hari.. aku rasa, waktu itu sudah petang. Sebaik pulang dari kelas tutorial, aku kembali ke bilikku seperti biasa. Sewaktu aku sedang berada di katilku membuat sesuatu, pintu bilik kami terbuka dan kelibat sahabatku tadi masuk dengan senyuman lebar di bibirnya sambil berkata,
“Aku sudah masuk Islam”
Aku dan sahabat sebilkku yang kebetulan sedang belajar di mejanya, memandangnya dengan mata yang terbuka luas. Aku dan dia sama-sama terkejut mendengarnya.
“Haaa.. biar betul??” kawanku yang dari Sibu, aku tidak ingat apa yang dibuatnya pada waktu itu, turut sama keluar dari katilnya dan memandang sahabat mualafku itu dengan mulut yang separuh terbuka.
“Ya.. betul..” bibirnya masih tersenyum lebar. Tanpa berlengah lagi, aku dan sahabat-sahabat sebilik yang lain cepat-cepat memeluknya sambil menyatakan rasa gembira dan syukur.
Masya Allah.. SubhanaAllah.. hari itu adalah merupakan hari yang sangat gembira buat kami. Gembira kerana hadirnya saudara baru di dalam bilk kami. Pada keesokkan harinya, hampir seluruh warga Kolej Matrikulasi terpukau dengan khabar itu. Aku sangat bersyukur dan berdoa semoga Allah sentiasa memberikan hidayahNya untuk saudara baruku ini.
Aku melihat perubahan yang ketara pada dirinya. Bermula dari dia tidak memakai tudung, perlaan-lahan berjinak-jinak dengan memakai tudung dan akhirnya menutup terus auratnya dengan mengenakan tudung labuh dan jubah. Oh Allah.. melihatkan fasa-fasa perubahan itu, aku dan sahabat-sahabat lain sangat gembira. Walaupun saat itu, sedikit demi sedikit kawan-kawannya sudah mula memulaukan dirinya tetapi pada masa yang sama, kawan-kawan baru muncul satu persatu. Mereka sedaya upaya membantunya dari pelbagai sudut agar dia tidak rapuh.. agar dia menjadi kuat untuk menjalani hidup baru.
Kami sempat berpuasa bersama, berterawih bersama, berbincang-bincang akan hal yang berkaitan dengan Islam bersama dan juga berjemaah bersama. Ya.. aku rindu berbual dengannya walaupun ada kalanya kami akan bergaduh, berselisih faham.. namun aku rindu untuk duduk dan berbual dengannya kerana dia adalah sahabat yang baik buatku. Sejak kami berpisah selepas tamat Matrikulasi, hanya sekali sahaja kami sempat bertemu. Selepas itu, aku sudah tidak tahu dan tidak pernah lagi mendengar khabarnya. Hubungan kami terputus begitu sahaja. Tiada berita.
Namun dua tahun yang lalu, aku berjaya mengesannya di laman mukabuku. Masya Allah.. aku sungguh gembira melihat gambarnya dan alhamdulillah dia sudah pun berkahwin dan sekarang menetap di semenanjung. Yang lebih menggembirakan aku lagi dia masih tetap seorang muslimah dan semoga kekal menjadi muslimah yang sejati. Walaupun aku telah menemuinya kembali..tetapi aku tidak meneruskan persahabatan ini. Kukira.. mungkin kami sudah tidak punya jodoh lagi. Mungkin hadirnya dia dalam hidupkan untuk mengajarku lebih menghargai diriku dan agamaku. Mungkin juga hadirnya dia dalam hidupku untuk menjadikan aku lebih kuat menjalani kehidupan sepanjang kami di Matrikulasi. Terima kasih sahabat.
Mengenangkan peristiwa ini, aku mula tertanya-tanya, bagaimanakah pula nasib pelajarku itu tadi? Adakah dia akan melalui perkara yang sama seperti sahabatku ini? Apakah pilihannya nanti?
Wallahu-‘alam. Aku cuma mampu berdoa dan berdoa semoga Allah memberikan hidayahNya kepada mereka yang memerlukan. Juga tidak lupa untuk diriku, hamba Allah yang masih lemah dan daif dari setiap sudut. Zahir dan Batin. Alangkah ajaibnya kuasa Allah. Setiap perjalanan hidup kita sememangNya telah diatur dengan baik olehNya.
**
Bila aku mula menulis,
Er
14 July 2013, Ahad.